Syair dan Madih memuji Nabi S.A.W oleh para sahabat R.A
Syair dan Madih memuji Nabi S.A.W (Dipetik dari buku Khilafiah - Karangan Ust. Muhadir Hj Joll)
Halaman: 597-599 Bab MaulidurRasul
Pada zaman Nabi terdapat banyak penyair yang terkenal dan hebat datang kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan mempersembahkan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم berhalaman-halaman syair yang memuji dan mengagungkan Baginda صلى الله عليه وسلم.
Ini dibuktikan dengan banyaknya syair yang dikutip dalam Sirah Ibn Hisham, al-Waqidi dan lain-lain. Penyair-penyair terkenal mengagung-agungkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di hadapan Baginda صلى الله عليه وسلم dan para Sahabat dan tidak dilarang oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan tidak ada para Sahabat yang mencela atau mengatakan hal tersebut berlebih-lebihan (ghuluw).
Rasulullah amat suka syair yang indah seperti yang diriwayatkan Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan kitab-kitab lain. Rasulullah bersabda: “Terdapat hikmah dalam syair.”
Ayah saudara Nabi, al-Abbas mengarang syair memuji kelahiran Nabi. Di antara bait terjemahannya sebagai berikut:
“Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu, dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang terpimpin” (ruj1254)
Ibn Katsir menerangkan dalam kitabnya bahawa para Sahabat ada meriwayatkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم memuji nama dan nasabnya serta membaca syair mengenai diri Baginda صلى الله عليه وسلم semasa Peperangan Hunain untuk menambah semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. (Lihat hadis riwayat at-Tabarani dan al-Baihaqi dalam Dala’il an-Nubuwwah, ms. 5, Syarh al-Mawahib, 1/62, begitu juga hadis-hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, at-Tirmizi dan lain-lain)
Hasan bin Tsabit selalu melagukan dan membacakan syair-syairnya di depan Sayyidul Mursalin Muhammad dan di depan para Sahabat Baginda صلى الله عليه وسلم. Tidak ada satu pun yang mencela atau mengatakan berlebih-lebihan (ghuluw).
Tertera di batu nisan Hasan Ibn Tsabit, beliau menulis mengenai Nabi :صلى الله عليه وسلم
“Bagiku tiada siapa dapat mencari kesalahan dalam diriku, Aku hanya seorang yang telah hilang segala derita rasa, Aku tidak akan berhenti daripada memujinya (Nabi), kerana hanya dengan itu mungkin aku akan kekal dalam syurga bersama-sama ‘Yang Terpilih’, yang daripadanya aku mengharapkan syafaat, dan untuk hari itu, aku kerahkan seluruh tenagaku ke arah itu.”
Menurut riwayat yang berasal dari Abu Bakar Ibn al-Anbari (ruj1255), ketika Ka’ab bin Zuhair (ruj1256) dalam mendendangkan syair pujiannya sampai kepada sanjungan bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم adalah sinar cahaya yang menerangi dunia dan Baginda صلى الله عليه وسلم laksana pedang Allah yang ampuh terhunus.
Sebagai tanda kegembiraan Baginda صلى الله عليه وسلم, maka Baginda صلى الله عليه وسلم menanggalkan kain burdahnya (kain penutup punggung) dan diberikan pada Ka’ab. Muawiyyah bin Abi Sufyan pada masa kekuasaannya berusaha membeli burdah itu dari Ka’ab dengan harga sepuluh ribu dirham, tetapi Ka’ab menolaknya. Setelah Ka’ab wafat, Muawiyyah membeli burdah pusaka Nabi itu dari ahli waris Ka’ab dengan harga dua puluh ribu dirham.
Banyak sekali hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat Nabi tentang bagaimana mereka memuliakan dan mengagungkan Nabi seperti Amr bin As, Anas bin Malik, Usamah bin Syarik dan lain-lain. Semua pujian dan syair-syair ini tidak dilarang oleh Baginda صلى الله عليه وسلم Juga syair-syair tersebut boleh dilagukan dan diiringi dengan bermain gendang.
Dalam kitab Madarij as-Salikin, Ibn Qayyim menulis bahawa Nabi memberi izin untuk menyanyi pada hari perkahwinan dan membenarkan syair dipersembahkan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم. Baginda صلى الله عليه وسلمmendengar Anas dan para Sahabat memujinya dan membaca syair ketika Baginda صلى الله عليه وسلم sedang menggali parit semasa peperangan Khandaq dan mereka pernah berkata: “Kamilah yang telah memberi bai’ah kepada Muhammad untuk berjihad selama kami hidup.”
Ibn Qayyim juga telah menceritakan mengenai Abdullah Ibn Rawahah membaca syair yang panjang memuji-muji Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. semasa penaklukan kota Makkah, dan Nabi pun berdoa untuk Abdullah . Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga pernah mendoakan untuk Hasan Ibn Tsabit agar Allah sentiasa memberi bantuan kepadanya dengan roh suci selama beliau memuji-muji Nabi melalui syairnya. Nabi juga pernah meminta Aswad bin Sarih untuk mengarang syair memuji-muji Allah dan Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم pernah meminta seseorang untuk membaca syair puji-pujian yang memuat seratus halaman yang dikarang oleh Umayyah Ibn Abi Halh.
Menurut Ibn Qayyim lagi: Aisyah r.a. selalu membaca syair memuji Baginda صلى الله عليه وسلم dan Baginda صلى الله عليه وسلمamat menyenanginya.”
Ditulis juga oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya, Allah memberi keizinan kepada Nabi agar membaca al-Quran dengan berlagu. Pada suatu hari Abu Musa al-Asy’ari sedang membaca al-Quran dengan berlagu dan suara yang merdu dan ketika itu Nabi sedang mendengar bacaan beliau.
Setelah dia selesai mengaji, Nabi mengucapkan tahniah kepadanya kerana bacaannya yang begitu merdu dan Nabi bersabda: ‘Engkau mempunyai suara yang merdu.’ Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda lagi bahawa:
“Abu Musa al-Asy’ari telah dikurniakan Allah ‘mizmar’ (seruling) di antara mizmar-mizmar Nabi Daud.” Abu Musa pun berkata: “Ya Rasulullah, jika aku tahu yang engkau sedang mendengarkan bacaanku nescaya aku akan membaca dengan suara yang lebih merdu dan lagu yang lebih enak lagi yang engkau belum pernah dengar lagi.”
Ibn Qayyim menulis lagi, Nabi bersabda:
”Hiasilah al-Quran dengan suara kamu, dan sesiapa yang tidak melagukan al-Quran bukanlah dari kalangan kami.”
Ibn Qayyim mengatakan juga: “Untuk menyenangi suara yang merdu adalah dibenarkan seperti juga kita menyenangi pemandangan yang indah, gunung-gunung, alam semesta ataupun harum-haruman dan wangi-wangian ataupun hidangan yang lazat selama semua itu tidak melanggar batas-batas syariat.”
Seorang ahli hadis, Ibn ‘Abbad telah memberikan fatwa tentang hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم berikut ini: “Seorang wanita telah datang menemui Nabi pada waktu Baginda صلى الله عليه وسلم baru pulang dari medan
peperangan, dan wanita itu pun berkata: Ya Rasulullah, aku telah bernazar jika sekiranya, Allah menghantarkan engkau kembali dalam keadaan selamat, aku akan bermain gendang di sebelahmu. Nabi pun bersabda: Tunaikanlah nazarmu.” (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi)
Masih banyak lagi kata-kata Baginda صلى الله عليه وسلم untuk dirinya. Sekiranya pujian-pujian ini semuanya dilarang, maka tidak akan diucapkan dari lisan orang yang paling takwa dan mulia Rasulullah صلى الله عليه وسلم serta dari lisan para Sahabat yang ditujukan kepada Baginda 1257 صلى الله عليه وسلم.
Rujukan:
1253: kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para Sahabat.
1254: Lihat Mustadrak ala ash-Sahihain, Husn al-Maqsid, Imam as-Suyuthi, ms. 5, kitab Maulid Ibn Katsir, ms. 30 dan Fath al-Bari.
1255: Beliau ialah Abu Bakar Muhammad bin al-Qasim al-Anbari. Antara kitabnya ialah Gharib al-Hadis. Meninggal pada tahun 328H.
1256: Beliau ialah Ka’ab bin Zuhair bin Abi Sulma al-Mazni dari keturunan suku Muzainah. Seorang Sahabat Rasulullah dan seorang penyair ‘Mukhadram‛ iaitu penyair yang hidup pada zaman Jahiliah dan sempat pula hidup pada zaman awal Islam. Meninggal pada tahun 26H (645M) (ada pendapat yang mengatakan beliau meninggal dalam zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan).
1257: Lihat dalil-dalil yang kuat dalam membolehkan puji-pujian ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam al-Qaul ash-Sahih fi Masyru’iyyah al-Madih, Syeikh Ahmad Abd al-Baqi asy-Syeikh Daf’ullah ash-Sha’im Daimah, al-Qahirah: Dar Jawami’ al-Kalim, t.t.
0 Comment to "Syair dan Madih memuji Nabi S.A.W oleh para sahabat R.A"
Posting Komentar