Syair dan
Madih memuji Nabi S.A.W oleh para sahabat R.A
Syair dan Madih
memuji Nabi S.A.W (Dipetik dari buku Khilafiah - Karangan Ust. Muhadir Hj Joll)
Halaman: 597-599
Bab MaulidurRasul
Pada
zaman Nabi terdapat banyak penyair yang terkenal dan hebat datang kepada
Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan mempersembahkan kepada Baginda صلى الله عليه
وسلم berhalaman-halaman syair yang memuji dan mengagungkan Baginda صلى الله
عليه وسلم.
Ini dibuktikan dengan banyaknya syair yang dikutip dalam Sirah
Ibn Hisham, al-Waqidi dan lain-lain.
Penyair-penyair terkenal mengagung-agungkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم di
hadapan Baginda صلى الله عليه وسلم dan para Sahabat dan tidak dilarang oleh
Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan tidak ada para Sahabat yang mencela atau
mengatakan hal tersebut berlebih-lebihan (ghuluw).
Rasulullah amat suka syair yang indah seperti yang diriwayatkan
Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan kitab-kitab lain.
Rasulullah bersabda: “Terdapat hikmah dalam syair.”
Ayah saudara Nabi, al-Abbas mengarang syair memuji kelahiran
Nabi. Di antara bait terjemahannya sebagai berikut:
“Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga
nyaris-nyaris pasak-pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu, dan kami
dapat terus melangkah lantaran kerana sinar dan cahaya dan jalan yang
terpimpin” (ruj1254)
Ibn Katsir menerangkan dalam kitabnya bahawa para Sahabat ada
meriwayatkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم memuji nama dan nasabnya serta membaca
syair mengenai diri Baginda صلى الله عليه وسلم semasa Peperangan Hunain untuk
menambah semangat para Sahabat dan menakutkan para musuh. (Lihat hadis riwayat
at-Tabarani dan al-Baihaqi dalam Dala’il an-Nubuwwah,
ms. 5, Syarh al-Mawahib,
1/62, begitu juga hadis-hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah,
at-Tirmizi dan lain-lain)
Hasan bin Tsabit selalu melagukan dan membacakan syair-syairnya
di depan Sayyidul Mursalin Muhammad dan di depan para
Sahabat Baginda صلى الله عليه وسلم. Tidak ada satu pun yang mencela atau
mengatakan berlebih-lebihan (ghuluw).
Tertera di batu nisan Hasan Ibn Tsabit, beliau menulis mengenai
Nabi :صلى الله عليه وسلم
“Bagiku tiada siapa dapat mencari kesalahan dalam diriku, Aku
hanya seorang yang telah hilang segala derita rasa, Aku tidak akan berhenti
daripada memujinya (Nabi), kerana hanya dengan itu mungkin aku akan kekal dalam
syurga bersama-sama ‘Yang Terpilih’, yang daripadanya aku mengharapkan syafaat,
dan untuk hari itu, aku kerahkan seluruh tenagaku ke arah itu.”
Menurut riwayat yang berasal dari Abu Bakar Ibn al-Anbari
(ruj1255), ketika Ka’ab bin Zuhair (ruj1256) dalam mendendangkan syair
pujiannya sampai kepada sanjungan bahawa Baginda صلى الله عليه وسلم adalah
sinar cahaya yang menerangi dunia dan Baginda صلى الله عليه وسلم laksana pedang
Allah yang ampuh terhunus.
Sebagai tanda kegembiraan Baginda صلى الله عليه وسلم, maka
Baginda صلى الله عليه وسلم menanggalkan kain burdahnya (kain penutup punggung)
dan diberikan pada Ka’ab. Muawiyyah bin Abi Sufyan pada masa kekuasaannya
berusaha membeli burdah itu dari Ka’ab dengan harga sepuluh ribu dirham, tetapi
Ka’ab menolaknya. Setelah Ka’ab wafat, Muawiyyah membeli burdah pusaka Nabi itu
dari ahli waris Ka’ab dengan harga dua puluh ribu dirham.
Banyak sekali hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat Nabi
tentang bagaimana mereka memuliakan dan mengagungkan Nabi seperti Amr bin As,
Anas bin Malik, Usamah bin Syarik dan lain-lain. Semua pujian dan syair-syair
ini tidak dilarang oleh Baginda صلى الله عليه وسلم Juga syair-syair tersebut
boleh dilagukan dan diiringi dengan bermain gendang.
Dalam kitab Madarij as-Salikin,
Ibn Qayyim menulis bahawa Nabi memberi izin untuk menyanyi pada hari
perkahwinan dan membenarkan syair dipersembahkan kepada Baginda صلى الله عليه
وسلم. Baginda صلى الله عليه وسلمmendengar Anas dan para Sahabat memujinya dan
membaca syair ketika Baginda صلى الله عليه وسلم sedang menggali parit semasa
peperangan Khandaq dan mereka pernah berkata: “Kamilah yang telah memberi bai’ah
kepada Muhammad untuk berjihad selama kami hidup.”
Ibn Qayyim juga telah menceritakan mengenai Abdullah Ibn Rawahah
membaca syair yang panjang memuji-muji Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. semasa
penaklukan kota Makkah, dan Nabi pun berdoa untuk Abdullah . Rasulullah صلى
الله عليه وسلم juga pernah mendoakan untuk Hasan Ibn Tsabit agar Allah sentiasa
memberi bantuan kepadanya dengan roh suci selama beliau memuji-muji Nabi
melalui syairnya. Nabi juga pernah meminta Aswad bin Sarih untuk mengarang
syair memuji-muji Allah dan Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم pernah meminta
seseorang untuk membaca syair puji-pujian yang memuat seratus halaman yang
dikarang oleh Umayyah Ibn Abi Halh.
Menurut Ibn Qayyim lagi: Aisyah r.a. selalu membaca syair memuji
Baginda صلى الله عليه وسلم dan Baginda صلى الله عليه وسلمamat menyenanginya.”
Ditulis juga oleh Ibn Qayyim dalam kitabnya, Allah memberi
keizinan kepada Nabi agar membaca al-Quran dengan berlagu. Pada suatu hari Abu
Musa al-Asy’ari sedang membaca al-Quran dengan berlagu dan suara yang merdu dan
ketika itu Nabi sedang mendengar bacaan beliau.
Setelah dia selesai mengaji, Nabi mengucapkan tahniah kepadanya
kerana bacaannya yang begitu merdu dan Nabi bersabda: ‘Engkau mempunyai suara
yang merdu.’ Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda lagi bahawa:
“Abu Musa al-Asy’ari telah dikurniakan Allah ‘mizmar’ (seruling)
di antara mizmar-mizmar Nabi Daud.” Abu Musa pun berkata: “Ya
Rasulullah, jika aku tahu yang engkau sedang mendengarkan bacaanku nescaya aku
akan membaca dengan suara yang lebih merdu dan lagu yang lebih enak lagi yang
engkau belum pernah dengar lagi.”
Ibn Qayyim menulis lagi, Nabi bersabda:
”Hiasilah al-Quran dengan suara kamu, dan sesiapa yang tidak
melagukan al-Quran bukanlah dari kalangan kami.”
Ibn Qayyim mengatakan juga: “Untuk menyenangi suara yang merdu
adalah dibenarkan seperti juga kita menyenangi pemandangan yang indah,
gunung-gunung, alam semesta ataupun harum-haruman dan wangi-wangian ataupun
hidangan yang lazat selama semua itu tidak melanggar batas-batas syariat.”
Seorang ahli hadis, Ibn ‘Abbad telah memberikan fatwa tentang
hadis Rasulullah صلى الله عليه وسلم berikut ini: “Seorang
wanita telah datang menemui Nabi pada waktu Baginda صلى الله عليه وسلم baru
pulang dari medan
peperangan, dan wanita itu pun berkata: Ya Rasulullah, aku telah
bernazar jika sekiranya, Allah menghantarkan engkau kembali dalam keadaan
selamat, aku akan bermain gendang di sebelahmu. Nabi pun bersabda: Tunaikanlah
nazarmu.” (Riwayat
Ahmad, Abu Dawud dan at-Tirmizi)
Masih banyak lagi kata-kata Baginda صلى الله عليه وسلم untuk
dirinya. Sekiranya pujian-pujian ini semuanya dilarang, maka tidak akan
diucapkan dari lisan orang yang paling takwa dan mulia Rasulullah صلى الله عليه
وسلم serta dari lisan para Sahabat yang ditujukan kepada Baginda 1257 صلى الله
عليه وسلم.
Rujukan:
1253: kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله
عليه وسلم dan para Sahabat.
1254: Lihat Mustadrak ala ash-Sahihain, Husn
al-Maqsid, Imam as-Suyuthi, ms. 5, kitab Maulid
Ibn Katsir, ms. 30 dan Fath al-Bari.
1255: Beliau ialah Abu Bakar Muhammad bin al-Qasim al-Anbari.
Antara kitabnya ialah Gharib al-Hadis.
Meninggal pada tahun 328H.
1256: Beliau ialah Ka’ab bin Zuhair bin Abi Sulma al-Mazni dari
keturunan suku Muzainah. Seorang Sahabat Rasulullah dan seorang penyair
‘Mukhadram‛ iaitu penyair yang hidup pada
zaman Jahiliah dan sempat pula hidup pada zaman awal Islam. Meninggal pada
tahun 26H (645M) (ada pendapat yang mengatakan beliau meninggal dalam zaman
pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan).
1257: Lihat dalil-dalil yang kuat dalam membolehkan puji-pujian
ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam al-Qaul ash-Sahih fi Masyru’iyyah
al-Madih, Syeikh Ahmad Abd al-Baqi asy-Syeikh Daf’ullah
ash-Sha’im Daimah, al-Qahirah: Dar Jawami’ al-Kalim, t.t.
0 Comment to "Syair dan Madih memuji Nabi S.A.W oleh para sahabat R.A"
Posting Komentar